Saturday, May 22, 2010

Pemotongan Subsidi Bahan Keperluan Harian Jejas Kehidupan Rakyat

SHAH ALAM 22 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bimbang pelan pemotongan subsidi yang dilakukan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bakal mencetuskan impak negatif kepada kehidupan rakyat.
Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut berkata, rakyat tertekan dengan pemotongan subsidi kerana ia akan meningkatkan kos perbelanjaan rakyat ketika pendapatan kian merosot.
Justeru, katanya, AMK Selangor menyatakan rakyat sewajibnya tidak dibebani dengan kenaikan harga keperluan dan perkhidmatan, sebaliknya soal pembaziran, penyelewengan dan ketirisan dalam kerajaan perlu diberi perhatian.
"AMK Selangor membidas kerajaan yang hilang fokus dalam membawa idea yang boleh meningkatkan pendapatan rakyat," katanya pada satu kenyataan, hari ini.
Agensi berita Reuters melaporkan Kabinet akan bermesyuarat 26 Mei depan untuk membincangkan usul memotong rejim subsidi keatas minyak, gas asli, makanan dan tol lebuhraya.
Najib sebelum ini menyakinkan pengundi seluruh negara bahawa harga keperluan asas tidak akan naik, namun Reuters melaporkan BN kini mempertimbang semula keputusan itu kerana defisit negara membengkak ke rekod tertinggi sejak 20 tahun lalu.
Ezli berkata, kerajaan harus melaksanakan polisi yang menguntungkan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana, apatah lagi kerajaan meuar-uar pertumbuhan suku pertama 2010 mencecah 10 peratus.
Beliau menggesa penstrukturan semula subsidi ini mengambil kira kesusahan rakyat khususnya perkara asas seperti subsidi bahan api, gula, tepung, makanan, pertanian dan bahan keperluan utama rakyat.
Katanya, AMK Selangor prihatin kepada nasib rakyat kerana penstrukturan semula subsidi mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat yang dibebani dengan kenaikan kos sara hidup.
"AMK Selangor terus memastikan jika kerajaan pimpinan Najib melaksanakan penstrukturan semula subsidi kelak, jangan sesekali memangsakan rakyat dalam melaksanakan polisi baru," katanya.

No comments:

Post a Comment