Tuesday, June 1, 2010

Apabila lidah dah terbelit S Manikavasagam terperangkap sendiri


Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam belum membuat keputusan sama ada akan menghadiri Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Shah Alam esok.

"Saya benar-benar berada dalam dilema. Mana satu saya hendak pergi?," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan saya jika saya membocorkan rahsia, saya akan ditangkap. Seksyen 29 Akta SPRM menyebut saya boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Kalau saya tidak pergi Selcat saya boleh dikenakan hukuman setahun penjara atau dikenakan hukuman denda RM5,000," terang beliau.

Manikavasagam sepatutnya memberi penerangan kepada Selcat, esok, berhubung isu pendedahan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mike berkata, jika beliau tidak pergi ke Selcat orang ramai akan menganggapnya sebagai penakut.

Ujarnya, "saya tidak takut, saya tidak gentar. Tetapi kedua-dua akta dalam SPRM dan Selcat menyebabkan saya berada dalam dilema dan serba salah. Tengoklah…saya masih berbincang dengan peguam saya."

Bulan lalu, Mike membuat pendedahan mengenai salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat pasir milik kerajaan negeri Selangor itu.

Saturday, May 29, 2010

'YB Lompat' mula kepanasan

Politik Malaysia dijangka akan bertambah panas berikutan kenyataan Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai cukup bukti bahawa ahli parlimen yang melompat disogok RM 2 juta dan ganjaran saham bernilai jutaan ringgit sebagai 'saguhati' kerana sudi menjadi wakil rakyat 'bebas'.


Semalam YB Bayan Baru, Dato Seri Zahrain Hashim melenting tak pasal-pasal dengan berkata akan menyaman DSAI jika namanya dikaitkan dengan mereka yang menerima habuan seperti yang dimaksudkan.

Mengapa Zahrain nak melenting dan mengelabah tak tentu pasal? Pepatah Melayu ada mengatakan siapa makan cili dia terasa pedasnya.

Kegelabahannya sekaligus seperti mengesahkan bahawa beliau antara mereka yang mendapat habuan. Jika Zahrain tak makan rasuah beliau tak perlu takut dan mengelabah.

Dia sepatutnya maklum akan hal itu. Jika pendedahan itu nanti tak berasas atau fitnah, dia mempunyai pelbagai saluran sama ada mahkamah atau boleh menggunakan media yang dianggap penipu dan pengampu sebelum ini.

Nafikan secara terbuka sebagai anak jantan dengan bukti dan fakta bukan merapu tak tentu hala.

Saya yakin pendedahan DSAI sangat dinantikan oleh rakyat Malaysia yang bakal menjadi pukulan maut kepada Umn0-BN.

Cuma saya berharap pendedahan ini nanti disertakan bukti dan maklumat sahih bukannya maklumat sipi-sipi yang akan menyebabkan rakyat kurang percaya dan hilang keyakinan.

Kita tunggu apa respon SPRM dan pihak polis. Jika semua ini menjadi kenyataan maka rakyat Malaysia dijangka akan berhadapan lagi dengan pilihan raya kecil parlimen dalam tempoh terdekat.

Pastinya ia sesuatu yang menjadi fobia kepada Umno-BN dalam pergolakan dan krisis yang melanda mereka sekarang.


CANANGLAH NI

Saturday, May 22, 2010

Pemotongan Subsidi Bahan Keperluan Harian Jejas Kehidupan Rakyat

SHAH ALAM 22 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bimbang pelan pemotongan subsidi yang dilakukan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bakal mencetuskan impak negatif kepada kehidupan rakyat.
Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut berkata, rakyat tertekan dengan pemotongan subsidi kerana ia akan meningkatkan kos perbelanjaan rakyat ketika pendapatan kian merosot.
Justeru, katanya, AMK Selangor menyatakan rakyat sewajibnya tidak dibebani dengan kenaikan harga keperluan dan perkhidmatan, sebaliknya soal pembaziran, penyelewengan dan ketirisan dalam kerajaan perlu diberi perhatian.
"AMK Selangor membidas kerajaan yang hilang fokus dalam membawa idea yang boleh meningkatkan pendapatan rakyat," katanya pada satu kenyataan, hari ini.
Agensi berita Reuters melaporkan Kabinet akan bermesyuarat 26 Mei depan untuk membincangkan usul memotong rejim subsidi keatas minyak, gas asli, makanan dan tol lebuhraya.
Najib sebelum ini menyakinkan pengundi seluruh negara bahawa harga keperluan asas tidak akan naik, namun Reuters melaporkan BN kini mempertimbang semula keputusan itu kerana defisit negara membengkak ke rekod tertinggi sejak 20 tahun lalu.
Ezli berkata, kerajaan harus melaksanakan polisi yang menguntungkan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana, apatah lagi kerajaan meuar-uar pertumbuhan suku pertama 2010 mencecah 10 peratus.
Beliau menggesa penstrukturan semula subsidi ini mengambil kira kesusahan rakyat khususnya perkara asas seperti subsidi bahan api, gula, tepung, makanan, pertanian dan bahan keperluan utama rakyat.
Katanya, AMK Selangor prihatin kepada nasib rakyat kerana penstrukturan semula subsidi mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat yang dibebani dengan kenaikan kos sara hidup.
"AMK Selangor terus memastikan jika kerajaan pimpinan Najib melaksanakan penstrukturan semula subsidi kelak, jangan sesekali memangsakan rakyat dalam melaksanakan polisi baru," katanya.

Wednesday, October 21, 2009

PKR Perak tidak letak harapan pada Jamaluddin dan Osman

PKR Perak tidak akan meletakkan harapan kepada dua wakil rakyatnya yang berpaling tadah kepada BN untuk kembali menyokong mereka semata-mata untuk membolehkan DUN negeri itu dibubarkan.

Walau timbul desas-desus menyatakan ADUN Behrang dan Changkat Jering telah berhubung dengan PKR negeri, parti itu tidak akan melayan apa-apa tuntutan mereka itu yang didakwa mementingkan "kepentingan sendiri", kata Ketua penerangan PKR Perak, Zulkifli Ibrahim.

Menurutnya lagi, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) serta Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dipercayai masih merupakan wakil rakyat bebas.

"Mereka ada berhubung dengan PKR negeri, itu maklumat yang kita dapat tapi kita tak dapat sahkan," kata Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Zulkifli juga berkata PKR perlu menolak sekiranya benar Jamaluddin dan Mohd Osman telah berhubung dengan PKR negeri untuk kembali menyokong parti tersebut.

"Saya nampak ia lebih kepada kepentingan peribadi, lebih-lebih lagi Behrang," kata Zulkifli lagi.

Beliau turut mendakwa Jamaluddin telah membuat beberapa rundingan melibatkan jawatan dengan BN, setelah keluar daripada PKR.

Menurut Zukifli lagi, rundingan yang dibuat oleh Jamaluddin itu adalah untuk membolehkan masyarakat setempat terus menyokongnya walaupun telah keluar dari parti.

Perbicaraan kes rasuah


Zulkifli mendakwa, Jamaluddin telah meminta kepimpinan BN negeri meletakkan dua orang calon ketua kampung di Behrang yang diketahui sebagai penyokong bekas wakil rakyat PKR tersebut.

"Dia kata kalau Umno tidak letakkan orang dia jadi calon ketua kampung, dia ugut untuk tidak akan sokong usul bajet negeri," kata Zulkifli lagi yang menjelaskan mengenai insiden yang diketahuinya berlaku kira-kira dua bulan lalu.

"Sekarang dua orang ketua kampung itu memang orang (Jamaluddin)," katanya lagi.

Kata Zulkifli lagi, kes rasuah yang masih berjalan terhadap mereka akan tetap digunakan oleh BN untuk menekan kedua-duanya.

Jamaluddin dan Mohd Osman masing-masing telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada akhir Ogos tahun lalu atas tuduhan menerima rasuah masing-masing membabitkan RM100,000 dan RM5,000.

Zulkifli menegaskan, Pakatan Rakyat Perak kini harus menumpukan terhadap usaha jangka panjang dan bukannya bertindak semata-mata untuk memastikan DUN Perak dibubarkan.

Katanya lagi, walaupun Pakatan Rakyat di negeri itu sememangnya mahu pilihan raya peringkat negeri diadakan, tetapi tidak semestinya dengan mengembalikan sokongan Jamaluddin, Mohd Osman serta seorang lagi wakil rakyat DAP yang telah meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Dalam masa sekarang, kita tidak boleh letakkan harapan kepada mereka... Kalau mereka masih memihak kepada kita, mereka boleh sokong kita.

"Tapi saya tak rasa begitu sebab kalau mereka sokong, sudah tentu kerana sebab mereka berkepentingan," kata Zulkifli lagi.

AMK: BN 'rampas' perjuangan Pakatan

Angkatan Muda PKR (AMK) mengakui perjuangan 16 September yang sering disebut-sebut oleh Pakatan Rakyat akhir tahun lalu telah "dirampas" oleh BN apabila tarikh tersebut diumumkan sebagai satu cuti umum.

Ketua pergerakan itu, Shamsul Iskandar Mat Akin bagaimanapun berpendapat, pengumuman itu juga merupakan satu bentuk sokongan kerajaan BN ke atas usaha-usaha yang dilakukan Pakatan Rakyat untuk membina kesamarataan di antara semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

"Ini turut memberi peluang kepada rakyat untuk membina kefahaman bahawa Pakatan kini telah sudah berupaya menjadi kerajaan," katanya.

Shamsul berkata BN juga kini tidak lagi mempunyai idea baru untuk diketengahkan sehingga "terpaksa mengambil idea Pakatan Rakyat."

"Bukan sahaja ini memberi sokongan kepada perjuangan Pakatan selama ini, mereka juga nampaknya telah hilang punca untuk mendepani tuntutan daripada pemimpin BN serta rakyat di sana dengan memberikan cuti umum ini," katanya lagi.

Pakatan Rakyat telah menimbulkan isu sambutan Hari Malaysia dengan giat ketika cuba meraih sokongan pemimpin BN di Sabah dan Sarawak, dalam usahanya mengambil alih kerajaan persekutuan menjelang 16 September tahun lalu.

Katanya lagi, pengumuman cuti umum itu hanyalah sebahagian kecil daripada usaha Pakatan selama ini untuk memberi lebih pengiktirafan kepada Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia.

Bayaran royalti


Tambahnya, pengumuman cuti umum itu juga tidak memberi gambaran sebenar berhubung sambutan Hari Malaysia, sedangkan dua negeri tersebut masih terpinggir dalam bidang ekonomi.

"Najib melihat kepada (retorik) sambutan Hari Malaysia dan bukannya pengisian hari tersebut. Pengumuman cuti umum ini hanya untuk memperingati penggabungan Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan persekutuan sebaliknya perlu memberi bayaran royalti sewajarnya kepada Sabah dan Sarawak, sebagai pulangan daripada sumber petroleum daipada negeri berkenaan.

Shamsul menjelaskan, sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, ketidakseimbangan ekonomi antara semenanjung dan Sabah serta Sarawak akan terus berlanjutan.

"Dari segi kemiskinan Sabah masih dianggap negeri miskin, termasuk Sarawak. Negeri ini juga masih ketinggalan dari segi pendidikan dan infrastruktur," katanya lagi.

Tuntuan untuk menaikkan kadar royalti minyak Sabah dan Sarawak daripada 5 peratus kepada 20 peratus itu merupakan salah satu modal PKR bagi meraih lebih banyak sokongan di dua negeri berkenaan.

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah berjanji untuk menyemak semula perjanjian antara kerajaan negeri berkenaan dengan kerajaan persekutuan yang dibuat pada 1976, untuk menaikkan kadar royalti berkenaan.

Thursday, October 15, 2009

Anwar sebagai PM,Umno tiada hak!



Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata Pemuda Umno tidak ada hak untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu bukan berada dalam parti

Kalau Umno nak ikrar, ikrar gilah, Anwar Ibrahim bukan orang Umno.

“Kalau Umno kalah mesti naik orang lain. Kalau Pakatan Rakyat (PR) menang, dia nak buat apa,”katanya.

“Umno nak ganggu orang lain apa kerja? Dia betul orang dia sudahlah. Kat situ pun dah tak kena,”katanya lagi.

Sewaktu ditanya, adakah PAS boleh menerima Anwar sebagai Perdana Menteri, Tuan Guru memberitahu, perkara itu bukan terletak pada PAS sahaja.

“Bukan PAS seorang sahaja, tetapi Pakatan, apabila Pakatan setuju pada satu orang, mahu tak mahu kita terimalah,”tegasnya.

Tuan Guru berkata demikian selepas Majlis Sambutan Ulangtahun Ke 19 Pelancaran Kutipan Derma Akauan Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah), di Kelantan Trade Center (KTC), di sini sebentar tadi.

Semalam Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berikrar akan sedaya-upaya menghalang kemaraan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

“Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar seorang chameleon politik, sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam.

“Tetapi Umno dan Pemuda Umno ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya,” kata Khairy dalam ucapan sulungnya dalam perhimpunan pergerakan pemuda semalam.Harakah

Isu arak antara punca tolak PAS: MB


kemaskini 1.04pm Menteri Besar Selangor mengakui pergolakan dalaman di negeri itu – antaranya kontroversi penjualan minuman keras – turut menyumbang kepada kemerosotan undi PAS pada pilihan raya kecil Bagan Pinang.


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun berkata, isu tersebut hanya membawa sedikit kesan negatif kepada Pakatan Rakyat, jika dibandingkan janji-janji imbuhan kerajaan persekutuan kepada DUN tersebut menjelang hari mengundi, Ahad lalu.

“Walaupun ada, tetapi kesannya jauh. Maknanya, ada kesan. Tetapi bukan (disebabkan perkara) itu sahaja. Jika itu berlaku, sudah tentulah kesannya ada juga di Bukit Selambau dan tempat lain (pilihan raya kecil sebelum ini),” katanya.

“Jadi, tidak terlalu tepat mengatakan ia disebabkan perkara yang berlaku (di Selangor) itulah (sahaja puncanya). Boleh jadi ada, tetapi tidak 100 peratus (mempengaruhi undi).

“Faktor yang menyumbang ke arah itu kecil, bukan besar jika dibandingkan dengan (kesan akibat) pemberian imbuhan kerajaan persekutuan kepada pengundi Bagan Pinang.”

Khalid diminta mengulas analisis beberapa pihak – antaranya oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan akhbar web PAS Harakahdaily – yang mengaitkan kemerosotan undi PAS dengan pergolakan politik di negeri Pakatan itu.

Wan Azizah kelmarin berkata, imej negatif yang digambarkan media berhubung isu penjualan arak memberikan tanggapan tidak baik kepada calon Pakatan menjelang pilihan raya kerusi DUN itu.

Sementara analisis Harakahdaily sejurus selepas keputusan pilihan raya itu menyebut, pengundi Cina menolak parti Islam kerana tidak berpuas hati dengan beberapa kenyataan pemimpin PAS di Selangor.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, kesahihan maklumat itu hanya dapat dipastikan apabila analisis lengkap keputusan penuh pilihan raya itu dibuat.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan seminar tenaga nuklear di Subang Jaya pagi ini, Khalid berkata, sepanjang kempen pilihan raya Bagan Pinang, pelbagai perkhidmatan percuma dan sedekah ditawarkan kerajaan persekutuan kepada pengundi melalui jabatan-jabatan kerajaan.

“Semua orang kampung di Bagan Pinang mendapat perkhidmatan kesihatan. Doktor lebih ramai daripada penerima perkhidmatan, lebih banyak wakil Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke rumah mereka.

“Lebih banyak pula 'sedekah' diberikan dalam bentuk beras dan sebagainya. Ini bukan sedikit, ini banyak memberi kesan kepada penilaian pengundi,” katanya.

Khalid juga berkata, isu tempatan seperti pemilihan calon popular Tan Sri Isa Samad, bekas menteri besar Negeri Sembilan selama dua dekad, dan isu-isu tempatan turut mempengaruhi kepada kemerosotan undi pembangkang.

Walaupun menerima hakikat kekalahan itu, tambahnya, Pakatan Rakyat akan cuba menganalisis punca kekalahan mereka setelah tujuh kali berjaya menumbangkan BN dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

“Sekarang kita cuba menganalisis mengapa keadaan pengundi ini mula berubah. Atau apa yang menyebabkan pengundi ini beralih pandangan?” katanya.

Sejak penghujung tahun lalu, kerajaan Pakatan Selangor bergolak teruk akibat perselisihan faham pemimpin PAS dan DAP di negeri itu, bermula dengan kawalan penjualan arak di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali dilaporkan bergeser dengan exco kerajaan tempatan daripada DAP Ronnie Liu yang yang didakwa cuba campur tangan dalam penguatkuasaan jualan minuman itu.

Kontroversi itu muncul kembali Ogos lalu apabila Dr Hasan, sebagai exco agama negeri, dilaporkan menuduh Ronnie campur tangan dalam satu rampasan minuman beralkohol di Shah Alam.